Operasi serbuan di salah sebuah premis menjual jamu di Hulu Langat oleh pegawai Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. Foto Facebook JKNS.
AGENSISELANGOR

Jamu tradisional tidak berdaftar bernilai RM30,000 berjaya dirampas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berjaya merampas beberapa jenis jamu tradisional bernilai RM30,000 dalam operasi serbuan pada 7 Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor berkata jamu yang didakwa mengandungi bahan perangsang seks lelaki dan pelangsingan badan wanita itu didapati tidak memaparkan nombor pendaftaran Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang sah.

Menurut Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman kes itu kini disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda iaitu tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut akta yang sama.

“Serbuan ke atas beberapa premis menjual ubat-ubatan tradisional seperti jamu yang disyaki tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

“Premis berkenaan terletak di sekitar daerah Hulu Langat dan serbuan dibuat hasil maklumat orang ramai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sehubungan itu, Dr Sha’ari menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membeli sebarang produk kesihatan dan memastikan ianya berdaftar dengan PBKD.

Pada masa sama, orang ramai juga digalakkan mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai produk meragukan dalam usaha membantu pihak berkuasa membanteras penjualan barangan kesihatan yang tidak dibenarkan.

Aduan dan maklumat tersebit boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi di http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my atau cawangan penguatkuasaan farmasi berdekatan atau menerusi talian 03-78413200.


Pengarang :