ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berucap ketika serahan Bantuan Selangor Bangkit di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Meru, Klang pada 19 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Harga barang naik, penerima program bantuan digesa hemah berbelanja

SHAH ALAM, 20 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru menasihatkan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) supaya berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata wang belanja bulanan RM300 yang dikreditkan melalui e-dompet Wavpay harus dimanfaatkan sebaik mungkin berikutan harga barangan keperluan asas semakin meningkat.

“Kerajaan Negeri beri bantuan ini bagi memudahkan rakyat susah beli barang keperluan, jadi jangan beli benda tidak perlu. Namun penerima mesti menghabiskan wang tersebut dalam tempoh sebulan kerana baki tidak boleh dibawa ke bulan berikutnya.

“Penerima juga perlu aktif menggunakan kad tersebut bagi mengelak risiko kad terbatal, apatah lagi ramai yang lebih memerlukan bantuan seumpama ini,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Mohd Fakhrulrazi mengakui menerima banyak permohonan mendapatkan bantuan RM3,600 setahun, namun kuota diperuntuk bagi DUN terbabit hanya 506 keluarga dengan 406 daripadanya sudah aktif.

Bagaimanapun, jelasnya, cadangan tambahan kuota dibawa kepada pihak berkaitan bagi memastikan lebih ramai keluarga memerlukan memperoleh manfaat sama.

“Setakat ini rata-rata maklum balas penerima amat positif dan mereka berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana membantu, cuma kita perlu melayan permohonan terdahulu yang gagal walaupun kita tahu mereka (pemohon baharu) juga susah.

“Memang banyak rayuan tetapi memandangkan kuota terhad maka kita terpaksa pilih individu paling layak dalam golongan berkaitan,” katanya.

Dilancar pada akhir Jun lalu, Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang yang bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan dana RM108 juta.

Pada 1 Ogos lalu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan bayaran Bingkas dibuat menerusi Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :