Gambar hiasan kanak-kanak menggunakan gajet. Foto ihsan Astro Radio News
AGENDANASIONAL

Pakar: Makin ramai kanak-kanak, remaja juling gara-gara peranti

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kes bola mata tidak selari atau juling banyak dikesan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja akibat penggunaan peranti untuk sosial secara berterusan.

Menurut Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), bilangan kes naik mendadak ketika penularan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan sejak dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Oftalmologi dan Sains Visualnya Prof Dr Shatriah Ismail berkata kes yang agak membimbangkan itu turut dikesan dalam kalangan bayi, lapor Berita Harian.

“Pembelajaran dalam talian tanpa ada waktu senggang juga boleh mempengaruhi kerana ada dalam kalangan murid menggunakan telefon bimbit dengan skrin kecil.

“Situasi ini agak membimbangkan dan sebab itu perlu ditekankan kepada pelajar, ibu bapa dan guru supaya kawal penggunaan peranti walau dalam kalangan kanak-kanak yang belum bersekolah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 30 pesakit antara 10 hingga 15 tahun dirawat di Hospital USM sejak 2018 untuk membetulkan semula bola mata yang masuk ke dalam atau juling.

“Walaupun kita cuba rawatan konservatif, kedudukan bola mata tidak balik ke kedudukan asal, seterusnya pesakit terpaksa menjalani pembedahan,” katanya lagi.


Pengarang :