BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Lebih 27,000 ‘sampah’ angkasa ancam satelit, manusia

Pada 30 Julai, kita dilaporkan serpihan seberat 23 tan roket CZ-B5 dari China kelihatan di langit Bumi. China meyakinkan kebanyakan serpihan-serpihan ini hangus terbakar setelah memasuki lapisan atmosfera Bumi, manakala selebihnya akan terhempas ke laut.

Pada 2 Ogos, dilaporkan serpihan-serpihan roket itu terhempas hanya beberapa ratus meter dari kampung-kampung di kepulauan Borneo (foto bawah). Walaupun tiada nyawa terkorban, kejadian ini amat membimbangkan kerana berpotensi mengancam nyawa penduduk Bumi.

Rakaman gambar dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China memasuki ruang udara bumi serta melintasi ruang udara Sarawak pada 31 Julai 2022. Foto Facebook Info Sibu

Peristiwa ini menimbulkan kontroversi kerana China membenarkan roket tidak terkawal ini terhempas ke Bumi. Piawaian biasa dalam projek angkasa ialah memastikan roket yang berpatah balik ke Bumi dapat dikawal supaya tidak mengancam nyawa penduduk.

Lebih menimbulkan kontroversi lagi apabila China tidak mendedahkan maklumat terperinci tentang tujahan roket CZ-B5 yang masuk semula ke Bumi. Bagaimanapun, kejadian seperti ini bukan kali pertama.

Sejak 1969 lagi, iaitu era Perang Dingin, terhempasnya serpihan-serpihan angkasa telah terjadi dan pernah mengorbankan nyawa. Sebelum ini pun, serpihan yang didakwa daripada roket SpaceX telah terhempas di kawasan berhampiran penduduk di Australia.

Serpihan angkasa atau sampah angkasa merujuk pada serpihan-serpihan mesin yang ditinggalkan oleh manusia di angkasa. Serpihan ini boleh datang dalam bentuk satelit yang tidak berfungsi ataupun gagal berfungsi setelah dilancarkan.

Serpihan angkasa juga berpunca daripada satelit yang dimusnahkan termasuklah daripada roket-roket yang manusia lancarkan sejak sekian lama. Setakat 2021, lebih daripada 27,000 sampah angkasa dapat dijejak sedang mengelilingi Bumi.

Apabila suatu objek dilancarkan dari Bumi, objek tersebut akan berada di orbit Bumi. Sejauh mana objek tersebut dilancarkan menentukan di mana serpihan-serpihan objek tersebut berada. Objek seperti satelit biasanya akan dilancarkan sejauh 36,000 kilometer.

Imej NASA

Sindrom Kessler

Apabila satelit ini tidak lagi berfungsi ataupun gagal berfungsi sewaktu dihidupkan, ia akan jadi sampah angkasa yang terus mengelilingi Bumi sampai beratus tahun, malah ribuan tahun. Setakat ini, sebanyak sekitar 4,450 satelit sedang berfungsi.

Satelit terkini biasanya berfungsi sekitar 15 hingga 20 tahun, selepas itu ia akan menjadi sampah angkasa dan kita boleh jangka sampah angkasa di ruang orbit Bumi akan terus bertambah.

Buat masa ini, sampah-sampah angkasa tidak membahayakan manusia. Namun, ia memberikan ancaman kepada satelit-satelit dan stesen angkasa yang sedang berfungsi melalui pelanggaran.

Panel suria pada satelit merupakan komponen yang paling mudah terancam kerana tidak ditutup dengan sebarang perlindungan. Panel suria tidak boleh ditutup memandangkan fungsinya memerlukan ia terdedah dengan cahaya matahari sebagai sumber tenaga untuk satelit berfungsi.

Sejak 1996 telah banyak satelit musnah akibat daripada pelanggaran sampah-sampah angkasa. Kemusnahan satelit amat merugikan. Kejadian ini sebenarnya membimbangkan.

Saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Donald J Kessler pernah membayangkan senario apabila pelanggaran antara satelit dan sampah-sampah angkasa semakin tinggi, bilangan sampah angkasa semakin meningkat.

Hal ini akan menyebabkan aktiviti-aktiviti angkasa mudah terbantut dan pada suatu masa kita terpaksa tentukan lokasi tertentu untuk melancarkan satelit. Hal ini tidak begitu praktikal secara ekonominya. Senario ini dinamakan sebagai sindrom Kessler.

Jika objek yang dilancarkan hanya pada setakat orbit rendah Bumi iaitu sekitar 2,000 kilometer dari daratan, serpihan-serpihannya akan masuk semula ke Bumi. Biasanya serpihan-serpihan ini akan terbakar sepenuhnya apabila berlanggar dengan lapisan atmosfera Bumi dan tidak akan menjejak daratan. Namun, telah terjadi banyak kes terdapat serpihan-serpihan yang tidak terbakar sepenuhnya dan jatuh ke daratan.

Amalan terbaik dalam menangani perkara ini ialah memastikan objek ataupun komponen roket yang masuk semula ke atmosfera Bumi dapat dikawal supaya tidak membahayakan orang awam. Biasanya serpihan-serpihan angkasa ini dihalakan ke lautan.

Setiap tahun, sekitar 50 objek buatan manusia yang tidak terkawal masuk ke Bumi. Roket CZ-B5 menjadi kontroversi kerana ia meninggalkan komponen tidak terkawal terbesar yang masuk ke Bumi.

Roket CZ-B5 dilancarkan sebagai sebahagian daripada projek untuk membangunkan Stesen Angkasa Tiangong yang bermula sejak 2021. Pelancaran objek untuk menyiapkan stesen ini akan diteruskan sehingga penghujung 2022. Jadi, kita menjangkakan akan ada lagi roket-roket yang akan dilancarkan dan kita berharap kejadian membahayakan ini tidak berulang lagi.


Pengarang :