Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat KDEBWM, Ahmad Rizal Mohd Daud
AGENDANASIONAL

KDEBWM siap sedia aset jentera hadapi banjir

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebanyak 1,100 aset jentera KDEB Waste Management (KDEBWM) akan digerakkan bagi berdepan kemungkinan banjir besar yang dijangka berlaku pada November ini.

Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporatnya Ahmad Rizal Mohd Daud berkata semua jentera termasuk lori kompaktor itu akan digunakan secara menyeluruh di setiap kawasan banjir khususnya Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, lapor Harian Metro.

“Semua lori KDEBWM akan terus digerakkan ke lokasi banjir yang bukan saja melaksanakan kerja kutipan malah membantu memeriksa saliran longkang tersumbat.

“Ia tidak termasuk jengkaut yang turut akan digunakan menerusi kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Ahmad Rizal berkata demikian pada sidang media selepas program penanaman 500 bakau bersama KDEBWM, Lembaga Hasil (LHDN) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) di Hutan Simpan Kuala Bernam, Teluk Rhu, Sungai Apong, Sabak Bernam semalam.

Setakat ini, katanya, anak syarikat Kerajaan Negeri itu memeriksa semua saliran longkang dan parit yang tersumbat akibat sampah.

Menurutnya, KDEBWM turut bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir di Selangor.

Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan bermula pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.


Pengarang :