Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena program penanaman pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor di kaki Bukit Broga, Hulu Langat pada 24 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ajak jabatan, agensi negeri jaya kempen tanam 26 juta pokok

Oleh Zulaikha Zulkifli

SEMENYIH, 24 SEPT: Semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri diseru mengambil langkah proaktif untuk menjayakan program penamaman 26 juta pokok.

Dato’ Menteri Besar berkata program tersebut penting untuk dilaksana selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang memberi tempoh hingga 2026 untuk menyempurnakan sasaran.

Maklum Dato’ Seri Amirudin Shari, sasaran penanaman 26 juta pokok juga selari dengan tempoh 26 tahun pemerintahan baginda yang bermula pada 2001.

“Sehingga September 2022, sebanyak 545,000 pokok ditanam di Selangor melalui kempen ini. Semoga majlis pagi ini menjadi titik permulaan yang bermakna kepada kita semua ke arah merealisasikan usaha ini.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan bersepakat ke arah menghijaukan bumi Selangor yang kita sayangi ini,” katanya.

Beliau berucap pada Program Penanaman Pokok Sempena Hari Hutan Antarabangsa peringkat Selangor di Bukit Broga di sini, hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Dalam ucapan sama, Amirudin menegaskan kerajaan sentiasa konsisten memelihara serta melindungi hutan negeri agar berfungsi dengan baik serta dapat menangani isu perubahan iklim dan menyumbang pengurangan pelepasan karbon.

Katanya, dalam menghadapi bencana seperti hujan berpanjangan atau banjir besar, kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan Selangor menjadi sebuah negeri tahan uji.

“Melalui pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) baru-baru ini, pengurusan hutan dan alam sekitar secara lestari menjadi antara tema utama dalam proses merangka strategi yang efisien dan berimpak tinggi,” ujarnya.


Pengarang :