Paras air laut di perkampungan nelayan Bagan Hailam, Pelabuhan Klang masih terkawal pada paras 5.5 meter berikutan fenomena air laut pasang besar ketika tinjauan pada 12 September 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Paras air laut di Klang, Kuala Selangor dijangka cecah 5.5 meter hari ini

SHAH ALAM, 12 SEPT: Paras air laut sepanjang pesisir Klang dan Kuala Selangor diramal mencecah 5.5 meter hari ini berikutan fenomena air pasang besar.

Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor menjangka paras air laut tertinggi itu antaranya di Stesen Pelabuhan Klang, lapor Berita Harian.

“Paras air laut hari ini di beberapa lokasi di Klang adalah 5.4 meter, yang lain sekitar tiga meter sahaja. Paling tinggi (5.4 meter) hanya di Kuala Selangor dan Klang sebab ia berdekatan.

“Semua dalam keadaan terkawal kerana tidak hujan setakat ini. Jika hujan, kemungkinan besar ada pemindahan mangsa banjir sebab aliran air tidak dapat keluar ke laut,” kata Hafisham Mohd Noor.

Jelasnya, sebanyak 10 Balai Bomba dan Penyelamat Klang dan Selangor membabitkan 100 anggota digerakkan untuk memantau fenomena tersebut selain bersedia memindahkan mangsa jika banjir.

“Penduduk sebenarnya telah dimaklumkan lebih awal juga dan kita sarankan untuk berpindah sekiranya hujan lebat ketika air pasang besar,” kata Hafisham lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Kuala Selangor Ismail Zakariya menjangka kemuncak air pasang besar hari ini pada 6.54 petang dengan paras 5.1 meter.

Penduduk negeri ini terutama Klang dan Kuala Selangor diingatkan bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar bermula semalam hingga Rabu yang berkemungkinan menyebabkan banjir.

Fenomena itu turut dijangka berlaku antara 27 hingga 29 September ini apabila paras air laut pasang berpotensi meningkat sehingga 5.4 meter.


Pengarang :