Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei (kiri) bersama pegawainya meninjau longkang baharu di Jalan SS9A/17, Petaling Jaya pada 28 September 2022. Foto Zulaikha Zulkifli
ADNSELANGOR

Projek tebatan banjir atasi isu bah di DUN Kampung Tunku

Oleh ZULAIKHA ZULKIFLI

PETALING JAYA, 28 SEPT: Projek tebatan banjir dan menaiktaraf longkang di Jalan SS1/11 dan Jalan SS9A/17 di sini yang siap pada April berjaya menangani isu bah di kawasan berkenaan.

Wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berkata hasil pemantauan selama beberapa bulan mendapati air hujan mengalir dengan baik dan tidak melimpah daripada longkang.

“Projek tebatan banjir di Jalan SS1/11 yang siap pada April lalu telah menyelesaikan isu banjir di kawasan ini sejak 2020.

“Kerja naik taraf longkang di Jalan SS9A/17 pula berjaya mengelak air melimpah. Jika hujan, air akan mengalir dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas meninjau projek naik taraf longkang Jalan SS9A/17 di sini, hari ini.

Pada 22 Julai 2020, dua kawasan berkenaan mengalami banjir buat pertama kali berikutan ribut dan hujan lebat selama sejam.

Penduduk Bavani Periasamy, 40, yang terkesan bah sedalam hampir enam inci ketika itu berkata rumahnya kini tidak lagi dimasuki air selepas projek berkenaan siap.

“Sebelum ini, saya tak boleh tidur kalau hujan lebat terutama pada waktu malam. Saya risau air akan masuk ke dalam rumah. Sejak beberapa bulan ini, bila hujan lebat, saya akan perhatikan air di dalam longkang sama ada melimpah ke jalan raya atau tidak.

“Tapi sekarang air tidak lagi melimpah dan tidak ada kes air masuk ke rumah lagi,” katanya yang telah menjadi penduduk di kawasan itu selama 36 tahun.


Pengarang :