Keadaan di sekitar Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek yang dinaiki air akibat daripada hujan lebat ketika tinjauan pada 10 Sept 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga daerah di Selangor, KL diramal hujan lebat hingga 7 malam

SHAH ALAM, 3 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 7 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan tersebut dijangka melibatkan tiga daerah di negeri ini iaitu Gombak, Petaling dan Hulu Langat serta seluruh Kuala Lumpur, Labuan, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Situasi sama diramal di Perak meliputi Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar; Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Manakala Sarawak di Sarikei (Julau dan Meradong), Sibu (Sibu dan Kanowit), Mukah (Daro dan Matu) dan Limbang serta Sabah melibatkan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :