Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis makan malam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Selayang di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) San Yuk, Rawang pada 24 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tumpu pulih negara selepas dilanda krisis, bukan teruja laksana PRU15

GOMBAK, 25 SEPT: Keterujaan kerajaan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab ketika negara dalam fasa pemulihan susulan beberapa krisis.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Putrajaya seharusnya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang membelenggu rakyat ketika ini berbanding PRU15.

“Mereka (kerajaan) sedang galak dan teruja mahu adakan PRU. Bukan hendak lihat serta selesaikan masalah rakyat, tetapi niatnya seolah-olah mahu membebaskan kelompok yang dipanggil ‘kluster mahkamah’.

“Bagi saya ini satu perkara tidak bertanggungjawab yang akan menjerumuskan negara dalam keadaan lebih parah sebab kita masih lagi dalam proses pemulihan daripada beberapa krisis.

“Beberapa krisis berlaku disebabkan mereka yang tidak jujur, mereka yang tidak amanah, mereka yang tamak haloba serta rakus dengan kekuasaan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar berucap sempena majlis makan malam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Selayang di Kampung Sungai Terentang, Rawang di sini, malam tadi.

Amirudin berkata mandat diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mentadbir negara ini ketika PRU-14 lalu terjejas sejak berlaku Langkah Sheraton lebih dua tahun lalu.

Beliau menjelaskan susulan itu tiada perkara baik dinikmati rakyat di negara ini selain krisis politik tidak berkesudahan.

“PM (Perdana Menteri) bertukar beberapa kali…PRN (pilihan raya negeri) terpaksa dianjur beberapa kali dengan negeri terakhir Johor dan sebelum itu Melaka. Tidak ketinggalan Sabah selain pimpinan di Perak dan Kedah (bertukar).

“Keadaan ini telah menggangu mandat yang telah disampaikan oleh rakyat pada 2018 kepada HARAPAN,” katanya.

 


Pengarang :