Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis makan malam KEADILAN Cabang Selayang di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) San Yuk, Rawang pada 24 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN sedia hadapi PRU15 bila-bila masa, tekad pulih semula negara

GOMBAK, 25 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada bila-bila masa meski beberapa kali memberi amaran jangan dilaksanakan selagi belum tamat penggal.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya percaya desakan pihak tertentu mengadakan PRU15 bertujuan merampas kuasa dan kedudukan dengan cara tidak bermoral.

“Mereka (Umno) ada ugut mahu buat tahun ini (PRU15), itu bukan persoalan. Kita harus siap siaga sebab orang-orang ini dalam otak fikiran adalah kuasa dan kedudukan.

“Bagi mereka kebenaran (terbukti) kalau mereka dapat merampas dan mengambil kuasa walaupun dengan cara pintu belakang dan tidak bermoral selain menawarkan rasuah serta penyelewengan.

“Sebab itu kita sedia walaupun kita beri amaran tolong jangan buat (sebab) kita sedang berdepan dengan krisis ekonomi mendatar,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Selangor berucap sempena majlis makan malam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Selayang di Kampung Sungai Terentang, Rawang di sini, malam tadi.

Beliau turut berharap anggota parti meneruskan perjuangan reformasi selain menanam tekad memulihkan semula negara.

“Saya tahu ramai kecewa, gelisah, lesu dan sedih dengan pelbagai perkara seperti kekalahan HARAPAN di Melaka (pilihan raya negeri) dan Langkah Sheraton hingga kehilangan rakan-rakan (perjuangan dalam parti).

“Inilah lumrah perjuangan, inilah jalan cerita perjuangan. Memang biasa kita ditinggalkan (tetapi) untuk KEADILAN bukan perkara baru. Sebagai pendukung parti perjuangan, teruskan usaha kita.

“Kalau kita luntur jangan kita disalahkan oleh anak cucu cicit kerana kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk pulihkan negara dan melakukan reformasi sebagaimana dilaungkan,” katanya.

 


Pengarang :