AGENDANASIONAL

APMM Selangor teruskan misi kesan kru bot nelayan jatuh laut

SHAH ALAM, 19 OKT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan seorang kru bot nelayan yang jatuh ke dalam laut di sekitar perairan Sekinchan, Isnin lepas.

Pengarah APMM Selangor Kapten Maritim V Siva Kumar dalam kenyataan berkata operasi yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru bersambung pada hari kedua mulai 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot Penggalang 1 dibantu nelayan tempatan, merangkumi keluasan 53.46 batu nautika persegi dengan tumpuan di kawasan perairan Sekinchan.

Katanya operasi tersebut telah diaktifkan pada 11.05 pagi semalam dengan mengatur gerak bot yang sama selain Pangkalan Hadapan Carilamat juga telah ditubuhkan di Jeti Bagan Sekinchan.

“Mangsa Efendy, 40, warga Indonesia dikatakan telah jatuh laut pada 17 Oktober sekitar 7.30 malam dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.

“Mangsa yang berambut panjang dilihat kali terakhir memakai baju kuning dengan seluar kelabu sebelum dilaporkan hilang di laut,” katanya dalam kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :