BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari Little India ke Batu Caves, enam lokasi hidupkan suasana Deepavali

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 27 OKT: Pesta Cahaya telah tiba dan ia perayaan penting bagi penganut Hindu untuk merai kemenangan atas kegelapan, pengetahuan atas kejahilan dan kebaikan melawan kejahatan.

Bagaimanapun, tiada yang dapat menandingi keterujaan untuk membeli pakaian baharu, hiasan atau makan di luar untuk melengkapkan perayaan Deepavali.

Dalam artikel ini, anda akan temui enam tempat menarik untuk dikunjungi bukan hanya ketika musim perayaan tetapi boleh dilawati bila-bila masa sahaja.

Little India, Klang

Little India merupakan salah satu tempat terbaik untuk membeli-belah barangan tekstil, kalungan bunga segar, barang kemas dan makanan. Walaupun tiada sebarang acara diadakan, jalan yang sibuk ini memberikan pelbagai tawaran kepada pelancong.

Jalan biasanya sesak dengan orang membeli-belah dan sangat meriah. Apatah lagi barangan yang
ditawarkan sangat menarik, dengan fabrik import dan saree yang didatangkan dari India. Apabila bercakap tentang pilihan membeli-belah, pengunjung Little India pastinya dimanjakan dengan kedai di jalanan dan peniaga di sekitar lorong- lorong.

Anda juga boleh berjalan-jalan di kawasan itu dan mencari beberapa masakan India yang lazat, sarapan pagi serta pencuci mulut untuk memulakan hari anda atau selepas membeli belah. Bahagian terbaik tentang Little India di Klang ialah terdapat bazar yang diadakan setiap hari

Jalan Welman, Rawang

Jangan terkejut tetapi Rawang juga mempunyai Little India sendiri di Jalan Welman. Ia mungkin tidak semeriah Little Indian, tetapi ia mempunyai pelbagai kedai untuk anda membeli saree dan aksesori yang direka dengan cantik. Mencari kalungan bunga, sembahyang dan barangan mezbah? Hanya memandu ke Jalan Welman dan mencari banyak kedai yang menjualnya.

Apatah lagi, sama seperti Little India yang lain, restoran yang tersedia turut menyajikan hidangan India klasik untuk anda nikmati sebelum atau selepas membeli-belah. Daripada datang jauh ke Klang, penduduk tempatan dari Selayang, Serendah dan Batang Kali boleh pergi ke Rawang.

Kuil Sri Shakti

Anda boleh memandu ke kuil yang dibina indah ini jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang budaya dan agama Hindu. Terletak di Bukit Rotan, Kuala Selangor, Kuil Sri Shakti didirikan dengan teliti mengikut tulisan atau kitab suci kuno seperti Vedas, Agamas, dan Sirpa (seni bina) Sastras.

Dilukis dalam satu warna, ukiran rumit kuil itu kelihatan menyerlah dan sangat cantik berbanding kuil berwarna-warni yang biasa kita lihat. Kuil Sri Shakti adalah tempat yang wajib dikunjungi untuk mengetahui tentang agama ini dan menghargai warisan masyarakat Hindu serta berbangga dengan warisan mereka. Pastikan anda berpakaian sesuai kerana ia sebuah tapak suci.

Batu Caves, Gombak

Batu Caves adalah salah satu mercu tanda terbesar di Malaysia, bersama-sama dengan patung emas ikoniknya di tepi tangga berwarna-warni yang tinggi menuju ke kuil di dalam gua. Walaupun bukit-bukitnya besar dan cantik, apa yang menjadikannya unik ialah ia adalah rumah kepada salah satu tempat perlindungan Hindu yang terbesar dan paling menonjol selain dari India.

Walaupun ia merupakan tempat ibadat suci bagi penganut Hindu, namun ia juga menjadi tarikan pelancong terutama pada musim perayaan seperti Deepavali dan Thaipusam. Selain Kuil Sri Shakti, anda juga boleh melawat Batu Caves untuk menyaksikan pakaian perayaan yang berwarna-warni dan upacara keagamaan yang dilakukan oleh penganutnya di sini.

Anda juga dapat menyaksikan ekologi semula jadi di kawasan ini dengan melihat formasi batu, kelawar serta labah-labah di pintu masuk gua, sebagai tambahan kepada aktiviti keagamaan di sini.

Yap Kee Banana Leaf, Klang

Apa cara yang lebih baik untuk menyambut Deepavali selain daripada menikmati hidangan India yang terkenal, iaitu nasi daun pisang. Ia adalah hidangan yang sangat popular dari India Selatan dan sangat disukai oleh rakyat Malaysia.

Berdekatan dengan stesen komuter Klang, Yap Kee Banana Leaf ialah kopitiam berusia 98 tahun, dikendalikan seorang lelaki Cina yang turut menghidangkan beberapa nasi daun pisang yang lebih dikenali di Malaysia. Restoran ini sedikit sesak semasa tengah hari kerana harganya yang murah. Terdapat juga pilihan lain termasuk minuman kopitiam Cina klasik

Restoran Saravanaa Bhavan, Petaling Jaya

Jangan risau untuk semua vegan di luar sana kerana ini merupakan salah satu pilihan bersesuaian untuk anda. Jika anda ingin menikmati masakan India tanpa daging, kunjungi restoran ini. Terletak di Petaling Jaya, restoran menyediakan pelbagai menu termasuk nasi daun pisang dan pencuci mulut.

Restoran ini juga mempunyai hidangan India berinspirasikan Cina untuk mereka yang inginkan sesuatu yang berbeza daripada masakan India klasik. Restoran itu juga menyediakan persekitaran yang selesa dan luas, jadi anda boleh membawa seluruh keluarga anda.

 


Pengarang :