Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mendengar taklimat daripada Pengurus Besar Pembungkusan Teknikal Kilang Kertas 3 (PM3) GS Paperboard & Packaging Chan Thean Yew (kiri) pada majlis pelancaran kilang tersebut di Kuala Langat pada 27 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan lancar kilang kertas berteknologi tinggi di Kuala Langat

KUALA LANGAT, 27 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor hari ini berkenan melancarkan Kilang Kertas 3 (PM3) GS Paperboard and Packaging (GSPP) milik Oji Holdings Corporation.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke kilang di mukim Tanjung 12 diiringi DYMM Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut serta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim, EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Oji Holdings Hiroyuki Isono.

Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat ruang pemaran yang menghimpunkan produk keluaran syarikat berkenaan antaranya kotak, rak, pengecas bateri, karton lama (old carton) dan lampin pakai buang.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan Kilang Kertas 3 (PM3) GS Paperboard & Packaging sambil diperhatikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan), Presiden Oji Asia Packaging Sdn Bhd Dilun Tan (kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Oji Holdings Corporation Hiroyuki Isono (dua, kiri) dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko di GS Paperboard & Packaging Sdn Bhd, Kuala Langat pada 27 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sultan Sharafuddin kemudian berkenan melawat kilang pembuatan kertas yang dilengkapi teknologi terkini selain loji penjanaan tenaga bersepadu serta loji pengambilan dan pemprosesan air mentah.

Siap dibangunkan pada 15 November 2021, penyedia kemudahan pembungkusan merekodkan gulungan kertas pada 30 September dalam tahun sama manakala pengeluaran komersial bermula 1 April lalu.

Projek bernilai RM1.2 bilion itu menawarkan kemudahan pembungkusan setempat dengan kualiti konsisten dan bekalan produk siap dengan pantas kepada pelanggan.

Rangkaian pengumpulan sisa kertas tempatan dan antarabangsa yang luas memastikan GSPP mempunyai bahan mentah mencukupi untuk memenuhi permintaan pelanggan.


Pengarang :