Ahli keluarga M Vamsam berkumpul bagi meraikan perayaan Hari Deepavali semasa tinjauan Bernama di sekitar Dengkil pada 24 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Deepavali pascapandemik disambut meriah, kekal patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Perayaan Deepavali hari ini diraikan dengan meriah dan penuh kegembiraan dalam suasana sambutan yang dilihat kembali seperti sebelum pandemik Covid-19.

Selepas dua tahun perayaan itu disambut secara sederhana dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang Covid-19, penganut agama Hindu kini dapat melakukan upacara sembahyang beramai-ramai di kuil dan menganjurkan rumah terbuka.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memeriahkan Deepavali dalam semangat Keluarga Malaysia dengan menghadiri rumah terbuka di kediaman Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran di Kota Kemuning, Shah Alam serta kediaman Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan di Bukit Damansara di sini hari ini.

Tinjauan di beberapa kuil di seluruh negara mendapati penganut Hindu mula mengunjungi kuil seawal 5 pagi bagi melakukan upacara sembahyang dengan pakaian berwarna-warni.

Seorang pengunjung Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Seremban, Negeri Sembilan, K Sivalingam, 27, melahirkan rasa gembira kerana dapat melakukan upacara sembahyang di kuil beramai-ramai selepas negara terkesan dengan Covid-19.

Dalam pada itu, Pengerusi Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam, Raja Selan, 57, menjangkakan 3,000 orang mengunjungi kuil berusia 111 tahun di Johor Bahru, Johor itu hari ini, berbanding hanya 100 hingga 150 orang pada satu-satu masa mengikut SOP sebelum ini.

Kemeriahan sambutan pesta cahaya itu turut dirasai warga Switzerland, Edward McCulhy, 38, yang mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini.

“Saya baru tiba di sini (Malaysia) beberapa hari lepas dan apa yang boleh saya katakan, Malaysia sangat menarik dan berwarna-warni dengan makanan, masyarakat serta perayaannya. Ini peluang untuk saya merasai pengalaman meraikan Deepavali,” katanya yang sedang bercuti di Malaysia selama dua minggu.

Perayaan itu juga menjadi peluang buat mereka yang menyambutnya untuk berkumpul dengan saudara-mara dan jiran tetangga tanpa mengira kaum sambil menikmati pelbagai juadah termasuk kari ayam dan kambing, muruku serta manisan.

Pengunjung dari dalam dan luar negeri mengambil kesempatan untuk beriadah dan mengunjungi tempat bersejarah pada cuti umum sempena sambutan Deepavali di Bangunan Stadthuys atau Bangunan Merah dekat Banda Hilir pada 24 Oktober 2022. Foto BERNAMA

N Munisamy, 44, yang ditemui kediamannnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Belakang Bomba di Gua Musang, Kelantan berkata dia mengadakan rumah terbuka untuk rakan-rakan Cina dan Melayu sebelum berkunjung ke rumah rakan serta keluarga lain pada sebelah petang.

Lee Man Theng, 41, pula melahirkan rasa gembira apabila dapat menghadiri rumah terbuka Deepavali rakannya itu dan merasai sendiri semangat Keluarga Malaysia.

Di Kota Kinabalu, Sabah pula, lebih 600 masyarakat pelbagai kaum dan agama memeriahkan sambutan Deepavali anjuran Persatuan Kuil Hindu Kota Kinabalu dan Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang dengan pelbagai juadah dihidangkan kepada para tetamu.

Sementara itu, sambutan Deepavali sedikit terjejas berikutan penduduk di beberapa kawasan di daerah Kota Setar, Kedah mengalami gangguan bekalan air sejak semalam.

S Darshini, 33, yang ditemui di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam berkata keluarganya terpaksa menempah beberapa jenis makanan dan kuih kerana tidak dapat memasaknya sendiri akibat tiada bekalan air di rumah yang terletak di Taman Mergong.

-BERNAMA

 


Pengarang :