Penjaga gol KRU Port Klang Illyasyak Adi (kiri) menghalang percubaan Sijangkang City dalam aksi kedua kumpulan A Selangor Champions League di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 16 Oktober. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Gamestop Alam Megah, Rawang Mozyda kekal di puncak kumpulan SCL

SHAH ALAM, 18 OKT: Gamestop Alam Megah FC dan Rawang Mozyda FC meneruskan rentak kemenangan dengan mengutip mata penuh dalam perlawanan kedua Selangor Champions League (SCL) 2022 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 15 dan 16 Oktober.

Menentang Belia Selangor, jaringan Asnan Awal Hisham dan Iman Rais berjaya menghukum kelekaan pertahanan lawan bagi memastikan pasukan mereka, Gamestop Alam Megah meneraju kumpulan A dengan kemenangan 2-0.

MBPJ FC berjaya memadam kedukaan tewas perlawanan pertama selepas membelasah Kajang Bujangga 4-0. Dua jaringan Ashraf Abdul Nasir dan masing-masing satu gol disumbangkan Afif Ikhwanul serta Adam Syafiq cukup untuk menambah derita Kajang Bujangga yang bolos tujuh gol setakat ini.

Kegembiraan sama turut dikongsi Sijangkang City yang berjaya menewaskan KRU Port Klang 1-0 hasil jaringan tunggal pemain gantian Hafizi Abdul Rahim selepas menyempurnakan hantaran rendah Akhir Bahari.

Sementara itu, Rawang Mozyda turut mengekalkan momentum kemenangan apabila menewaskan Ingress KL 1-0 hasil jaringan tunggal penyerang Nur Rizzham Norman.

Walaupun mencipta banyak peluang, jaringan lewat babak pertama itu cukup untuk mengekalkan mereka di puncak kumpulan B selepas dua perlawanan.

Najmi SFFC Kota Damansara mengekalkan kelebihan kedudukan kedua apabila berjaya bangkit pada lewat permainan untuk meraih satu mata, mengikat Kelana United 1-1.

Ketinggalan 0-1 di awal permainan menerusi jaringan Azmeer Yusof, kesilapan penjaga gol Kelana United Nor Eqram Azray membolehkan Lukman Hakim Zulkepli menanduk masuk gol penyamaan pada masa tambahan.

Dalam satu lagi aksi kumpulan B, Bandar Putera 2 berjaya mempamerkan kesungguhan untuk melakar kemenangan pertama mengatasi MP Sepang 2-1.

Dua jaringan Muhd Muzhaffar di setiap babak berjaya memadam kelebihan gol awal MP Sepang pada minit kedua menerusi sepakan penalti Ahmad Qushairi untuk bangkit meraih tiga mata penuh.

Selangor Champions League yang memasuki edisi keenam merupakan platform mengumpulkan pasukan-pasukan amatur terbaik daripada komuniti bola sepak akar umbi negeri.

Kejohanan diilihamkan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ini disertai lebih 500 orang pemain mulai 8 Oktober hingga 10 Disember.


Pengarang :