Atlet renang Welson Sim memberi saingan hebat dalam dua penampilannya pada Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020. Foto Instagram Welson Sim
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pesakit asma pegang tiga rekod renang, tewaskan jaguh Olimpik

Oleh Faysal Amani

SHAH ALAM, 18 OKT: Jika tidak kerana menghidap asma ketika kanak-kanak, Welson Sim mungkin tidak menjadi jaguh renang negara, apa lagi bergelar atlet yang membuat dua penampilan pada Sukan Olimpik.

Perjalanan karier pemuda dari Kuching, Sarawak bermula pada 2007 ketika berusia 10 tahun apabila pemilik nama sebenar Welson Sim Wee Sheng menghidap asma teruk membuatkan ibunya runsing.

Bimbang dengan tahap kesihatan serta masa depan anak bongsu daripada dua beradik itu, ibunya bersetuju dengan cadangan kenalannya agar Welson menceburi sukan renang untuk menguatkan paru-paru bagi melawan asma dihidapinya.

Selepas itu, bermulalah perjalanan cemerlang buat Welson dalam sukan akuatik. Bakat besar dalam sukan renang terserlah apabila beliau hanya mengambil masa singkat belajar berenang sebelum bergelar atlet dan menyertai kejohanan pertamanya dalam Piala Presiden Sarawak pada 2008.

“Saya mula berenang pada usia 10 tahun kerana menghidap asma. Seseorang mengesyorkan sukan ini kepada ibu, dengan menyatakan ia akan membantu menguatkan paru-paru saya.

“Kemudian saya jatuh cinta dengan air dan memutuskan untuk berenang secara kompetitif, bukan hanya sebagai hobi,” katanya dalam temu bual bersama Selangorkini baru-baru ini.

Pada usia 12 tahun di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No 5 di Kampung Simpang Tiga, Kuching, anak pasangan mendiang Sim Ah Tee dan Lee Ngiat Kim ini mula mewakili pasukan renang Sarawak.

Tewaskan jaguh Olimpik

Pada usia 16 tahun Welson masuk ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur walau berat hati meninggalkan ayah, ibu serta kakak di Bumi Kenyalang.

Ternyata pengorbanan Welson berbaloi apabila tiga tahun kemudian iaitu pada 2016, dia membuat penampilan pertama Sukan Olimpik iaitu di Rio de Janeiro, Brazil pada usia 19 tahun.

Kejayaan dalam beberapa lagi pertandingan renang peringkat antarabangsa menyebabkan atlet berketinggian 1.81 meter mendapat jolokan ‘Michael Phelps Malaysia’.

Malah kehebatannya semakin terserlah apabila mengalahkan Mark Horton, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 pada Kejohanan Renang Terbuka Victoria di Melbourne, Australia pada Februari 2019.

Bukan satu, tetapi dua kali Welson menewaskan Horton dalam kejohanan itu. Pertama menerusi acara 400 meter gaya bebas, manakala kali kedua dalam acara 200 meter gaya bebas.

Welson adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter gaya bebas, 200 meter gaya bebas serta 400 meter gaya bebas.

Pada Julai tahun lalu, Welson membuat penampilan kedua Sukan Olimpik di Tokyo dan beraksi dalam dua acara kegemarannya iaitu 200 dan 400 meter gaya bebas.

Walau tampil lebih matang dan tenang dalam penampilan kali kedua di Olimpik berbanding lima tahun lalu, Welson akui kurang berpuas hati dengan pencapaiannya dalam acara 400 meter gaya bebas individu lelaki.

Ini selepas dia mencatatkan 3:58.25 saat pada peringkat saringan untuk menduduki tempat ke-33 daripada 36 perenang keseluruhan berbanding rekod kebangsaan miliknya iaitu 3:49.29 saat.

Dia bagaimanapun melakukan rekod terbaik tahun 2021 dalam acara 200 meter gaya bebas dengan catatan 1:49.24 saat pada peringkat saringan namun terlepas peluang ke separuh akhir.

Pada Sukan SEA Vietnam lalu, Welson membantu kuartet renang negara melakar kejutan menewaskan Singapura dan memecahkan rekod kebangsaan untuk merangkul pingat perak.

Welson, Lim Yin Chuen, Arvin Shaun Singh dan Khiew Hoe Yean menamatkan acara 4×200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki dengan rekod kebangsaan baharu, tujuh minit dan 19.750 saat.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, saya mahu tampil kali ketiga di Olimpik. Saya mahu beraksi di Paris 2024,” luah Welson mengenai perancangan masa depannya.

Nama penuh: Welson Sim Wee Sheng
Tarikh lahir: 29 Mac 1997 (25 tahun)
Asal: Kuching, Sarawak
Tinggi & berat: 1.81m / 70kg

Pendidikan:

  • SJK Chung Hua No 5, Kuching
  • SMK Batu Lintang, Kuching
  • Sekolah Sukan Bukit Jalil
  • Diploma Perniagaan, Taylor’s University

Pencapaian:

  • Emas Sukan SEA 2015 (400m gaya bebas)
  • Emas Sukan SEA 2017 (200m gaya bebas & 400m gaya bebas)
  • Emas 400m gaya bebas & 200m gaya bebas, Australia 2019
  • Olimpian Lelaki Kebangsaan 2017
  • Atlet lelaki terbaik Sukan SEA 2017
  • Pegang rekod kebangsaan 100m, 200m & 400m gaya bebas
  • Olimpik Rio 2016 & Olimpik Tokyo 2020

Pengarang :