Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad (dua, kiri) memilih johan menghias pulut kuning ketika program Bual Bicara dan Hi Tea Puspanita Sabak Bernam sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Isteri disaran main peranan bantu suami perkukuh ekonomi keluarga

SABAK BERNAM, 16 OKT: Para isteri perlu memainkan peranan dalam memastikan ekonomi keluarga terus membangun, menurut Datin Seri Masdiana Muhamad.

Yang dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyarankan golongan itu tidak mengehadkan peranan di dapur sahaja sebaliknya kreatif membantu suami menguruskan rumahtangga.

“Wanita ini sebenarnya kreatif dalam semua aspek, ia tidak terhad dalam masakan sahaja. Tetapi mereka perlu mengembangkan potensi diri dengan perniagaan khususnya ke arah digitalisasi.

“Jika wanita memainkan peranan berganding bahu bersama suami dengan membangunkan ekonomi, ia lebih mengharmonikan rumahtangga dan mengerat kasih sayang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Bual Bicara dan Hi-Tea Puspanita Sabak Bernam bersama Pekawanis sempena Jelajah Selangor Penyayang Sabak Bernam semalam.

Masdiana menambah wanita perlu bijak menguruskan masa antara keluarga dan kerjaya dengan mengambil contoh dirinya sebagai ibu dan isteri Dato’ Menteri Besar yang mana tanggungjawab bukan hanya kepada anak-anak tetapi masyarakat.

“Kita perlu bijak bahagikan masa menguruskan setiap perkara dengan tersusun tanpa perlu mengorbankan salah satu daripadanya,” katanya.


Pengarang :