Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Bukit Melawati di Sasaran Sungai Buloh, Kuala Selangor pada 21 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah ayam, telur dan beras diterus ke sembilan lokasi esok

SHAH ALAM, 6 OKT: Program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri diteruskan semula ke sembilan lagi lokasi esok, mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Jelajah Ehsan Rakyat diadakan di pekarangan kedai makan Hj Ahmad Subki, Kampung Bagan Nira di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak, kedai PLP Kampung Parit Mahang (DUN Ijok), parkir stesen minyak BHP Jalan Bandar 4, Taman Melawati (DUN Hulu Klang) dan Taman Selayang Baru (DUN Taman Templer).

Lokasi jualan murah turut meliputi Taman Cheras Prima (DUN Balakong), pekarangan Masjid Kota Damansara (DUN Kota Damansara), parkir Masjid Ar-Rahimin Kampung Telok Menegon (DUN Sungai Kandis) dan pejabat ahli majlis Zon 19 Dataran Setia, Kampung Setia (DUN Kuang).

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Maklumat lokasi Jelajah Ehsan Rakyat juga boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :