Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Raja Lumu di Bukit Melawati, Kuala Selangor pada 6 Oktober 2022. Turut mengiringi Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan berkenan rasmi Masjid Raja Lumu di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 6 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan merasmikan Masjid Raja Lumu di Bukit Melawati, Kuala Selangor, hari ini, yang dahulunya dikenali Masjid Pekan Lama Kuala Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga memberi perkenan mengiktiraf Masjid Raja Lumu yang dinaik taraf dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.4 juta sebagai Masjid Diraja yang kesembilan di negeri ini.

Terdahulu, baginda bertitah Masjid Raja Lumu dipilih sempena nama Raja Lumu yang merupakan Sultan Selangor pertama, dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah yang memerintah dari tahun 1766 hingga 1782.

“Ini sangat bertepatan kerana mengikut catatan sejarah, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan Selangor di Kuala Selangor dan bersemayam di atas Bukit Malawati yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Selangor.

“Beta berharap dengan adanya masjid baharu dengan seni bina menarik mampu menjadi antara daya tarikan utama khususnya penduduk kariah ini untuk beribadah serta pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Kuala Selangor.

“Beta percaya masjid ini memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan serta kesan peninggalan sejarah yang masih boleh dapat dilihat di daerah Kuala Selangor ini,” titah baginda.

Turut mengiringi baginda ke majlis perasmian Masjid Raja Lumu ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Di kesempatan itu, tuanku juga menyeru umat Islam untuk mengimarahkan dan menjadikan masjid sebagai tempat yang mulia dikunjungi untuk beribadat.

“Masjid adalah tempat bagi umat Islam beribadat tanpa mengira pangkat, darjat, jantina atau umur. Namun dalam usaha mendapatkan ganjaran pahala, janganlah kita menyalahgunakan masjid untuk kepentingan diri, terutama dalam hal keduniaan.

“Beta tidak berkenan sekiranya terdapat sesiapa pun menggunakan masjid untuk berpolitik, mengadakan ceramah tidak berlandaskan garis panduan ditetapkan serta mempengaruhi umat Islam ke arah sesuatu yang meragukan atau menyesatkan.

“Jadikanlah masjid satu tempat kondusif dan bebas politik kepartian. Beta mengharapkan nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid memandang serius perkara ini. Semoga amal ibadat yang kita lakukan diterima Allah Subhanahuwataala,” titah baginda.

Masjid Raja Lumu di Bukit Melawati, Kuala Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :