Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon mewakili HARAPAN bagi kerusi Parlimen Port Dickson pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Foto Instagram dsaminuddinharun
AGENDA NASIONAL

MB Negeri Sembilan diumum pertahan kerusi Anwar

PORT DICKSON, 21 OKT: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun diumumkan sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Pengerusi HARAPAN yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada program Jelajah Harapan Negeri Sembilan di sini, malam ini.

“Saya kena pilih, orang Port Dickson boleh percaya, standardnya sama atau lebih sikit daripada saya. Keperibadiannya, kerjanya dan orang tempatan. Dia (Aminuddin) tak minta, dia rayu jangan bagi dia.

“Ini contoh baik, tak akan ganggu (kerja MB), dia orang sini, sebagai Menteri Besar. Ketua Cabang Port Dickson. Ini adalah cara saya beri penghormatan kepada Port Dickson. Semoga menang kawasan lain juga. Bukan kita nak jawatan tapi khidmat lebih baik, hanya umum dua Tambun dan Port Dickson,” katanya.

Semalam, Anwar mengesahkan akan bertanding di Parlimen Tambun, Perak pada PRU15.

Beliau akan melepaskan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya ketika ini, selepas menang besar dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada Oktober 2018 yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru.

Anwar ketika ditemui media selepas itu berkata beliau yakin Aminuddin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson.

“Beliau bekerja dengan baik, orang sini, selalu bantu saya di Port Dickson, Insya-Allah boleh (menang) dengan bergaya,” katanya.

Terdahulu, Anwar berkata keputusannya bertanding di Tambun kerana turut mahu menawan kawasan lain di negeri berkenaan sekali gus memberikan nilai tambah kepada PH.

“Tambun sekarang bukan HARAPAN, tetapi dikuasai Bersatu, jadi kalau tawan yang itu, mudah-mudahan dapat tawan beberapa kawasan lain. Kalau masing-masing pertahan sahaja tak boleh la, nak perkembang kawasan lain, tapi saya tahu bukan mudah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :