Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Selangor (SDEC) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri bimbing syarikat pemula perkenal sumber tenaga boleh diperbaharui

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Kerajaan Selangor membimbing syarikat pemula untuk memperkenalkan sumber tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Dato’ Menteri Besar berkata syarikat berkaitan dilatih Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menerusi Program Pemecut Selangor (SAP).

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memperuntuk RM30 juta modal teroka bagi mempercepat pertumbuhan syarikat pemula terutama dalam bidang peralihan karbon sifar bersih (net zero transition), kitaran ekonomi dan bandar pintar.

“Usaha ini akan memberi manfaat besar kepada orang ramai kerana kita boleh menyahkarbon kuasa dengan cepat selain menjimatkan bil elektrik dan mengurangkan subsidi bahan api,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Pada masa sama, Amirudin mengakui negara ini berpotensi membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, biofuel dan biojisim.

“Kita lega melihat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama di Malaysia yang sudah menceburi bidang tenaga boleh diperbaharui antaranya Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia dan FGV Holdings Berhad.

“Mereka menubuhkan usaha niaga baharu selain melabur dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.


Pengarang :