Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. Foto Facebook ILMUAN DARULAMAN
AGENDANASIONAL

Pihak berkuasa perlu siasat individu dakwa keturunan Rasulullah

GEORGE TOWN, 10 OKT: Pihak berkuasa perlu menyiasat individu yang mendakwa dirinya berketurunan Nabi Muhammad SAW bagi memastikan kesahihan dakwaan itu sama ada menerusi dokumen yang asli atau dengan penyaksian pihak yang boleh dipercayai.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata memang ada keraguan dan penipuan boleh berlaku di mana-mana serta dalam pelbagai bentuk dan cara termasuk dakwaan oleh individu tertentu konon dirinya berketurunan Nabi Muhammad.

“Saya harap pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama boleh menyiasat latar belakang individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasul yang mulia, malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta kedutaan Malaysia di negara individu berkenaan boleh diminta memberi bantuan dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, tular seorang individu yang mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad tiba di Malaysia bagi menyampaikan ceramah bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Bagaimanapun, difahamkan program individu dikenali sebagai Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi gagal mendapatkan kelulusan daripada beberapa jabatan agama negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan sehingga menyebabkan ia terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, Wan Salim berkata umat Islam juga tidak boleh memberi reaksi tergesa-gesa dan taksub sama ada menyokong atau menolak seseorang yang mendakwa berketurunan Rasulullah SAW.

“Cuma kita perlu tahu dan faham bahawa di dalam pertimbangan Islam, keturunan yang mulia bukan kriteria bagi kemuliaan. Seorang hamba abdi yang beriman dan taat kepada Allah dan Rasul adalah lebih mulia daripada seorang berketurunan Rasul tetapi jahat dan munafik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya difahamkan penganjur program yang melibatkan Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini tidak memohon kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang.

“Saya juga difahamkan mana-mana pihak yang ingin membawa masuk penceramah agama dari luar negara dikehendaki mendapat kebenaran pihak Jakim dan polis terlebih dahulu.

“Sebenarnya saya memang dijemput hadir di majlis tersebut. Pada mulanya saya jawab akan hadir tetapi telah membatalkannya setelah mendapat maklumat yang meragukan mengenai figura warga Maghribi tersebut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :