AGENDA JENAYAH

Polis Thailand, Malaysia lumpuhkan sindiket pemerdagangan orang

BANGKOK, 31 OKT: Polis Malaysia dan Tailand melumpuhkan sindiket pemerdagangan orang dan menyelamatkan empat mangsa yang ditahan di Malaysia.

Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat Leftenan Jeneral Jirabhop Bhuridej berkata empat wanita, dua warga Thailand dan dua warga Indonesia, diselamatkan di sebuah hotel di Selangor pada Sabtu.

Beliau berkata polis Thailand menahan dua lelaki, seorang di Chachoengsao dan yang kedua di Chonburi pada Sabtu manakala Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia menangkap tiga wanita di Selangor pada hari yang sama.

“Kami sedang menyiasat lebih lanjut sama ada lebih ramai yang terlibat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berterima kasih kepada polis Malaysia atas bantuan mereka dalam menyelesaikan kes itu.

Dua lelaki yang ditahan di Thailand kini dalam tahanan polis.

Mereka berdepan sembilan pertuduhan termasuk pemerdagangan orang yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Jirabhop berkata penahanan itu susulan siasatan berbulan-bulan selepas polis Thailand dan Malaysia menyelamatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang dipaksa melacur di sebuah hotel di Cheras, Kuala Lumpur pada Julai.

Katanya gadis muda itu dihubungi seorang lelaki di media sosial memintanya untuk bekerja di rumah urut di Malaysia dengan gaji antara 20,000 dan 200,000 baht sebulan.

Gadis berkenaan menerima tawaran itu dan menyelinap masuk ke Malaysia secara haram di Sungai Kolok di Narathiwat.

Beliau berkata gadis itu kemudiannya diselamatkan dan dihantar pulang ke Thailand pada Julai selepas keluarganya membuat laporan polis.

— BERNAMA

 


Pengarang :