Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad (dua, kanan) bergambar bersama Ketua Jawatankuasa Penyelarasan Program Fellowship Penerbitan Istanbul Emrah Kisakurek (dua, kiri) selepas memeterai memorandum persefahaman bagi penganjuran program felo di Pesta Buku Frankfurt, Messe pada 21 Oktober 2022. Foto PPAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PPAS-Turkiye Basim meterai MoU, peluang teroka potensi penulisan kreatif pasaran global

SHAH ALAM, 22 OKT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Turkiye Basim Yayin Meslek Birligi (TBYM) bagi penganjuran program felo.

Rundingan kerjasama dengan Persatuan Hak Cipta dan Pelesenan Akhbar dan Penerbit Turkiye dicapai semalam sempena Pesta Buku Frankfurt, Messe.

Menurut Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad, intipati persetujuan awal melalui kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak saling mempromosi program felo masing-masing.

“TBYM memulakan program felo Istanbul Publishing Fellowship sejak 2016 dengan 17 felo yang terpilih daripada 14 negara. Tahun ini, program felo melibatkan 555 felo daripada 72 negara.

“Pengalaman Turkiye amat mengagumkan. Kami berbesar hati dan bersyukur apabila pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia memperkenalkan Istanbul Fellowship Program kepada PPAS untuk dicontohi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MoU berkenaan ditandatangani Mastura bagi pihak PPAS manakala TBYM diwakili Ketua Jawatankuasa Penyelarasan Program Fellowship Penerbitan Istanbul Emrah Kisakurek.

Dalam pada itu, Mastura berkata program terbabit membuka lebih banyak peluang kepada orang ramai khususnya di Selangor untuk meneroka potensi penulisan kreatif di pasaran antarabangsa.

Tambahnya usaha itu selaras dasar ditekankan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk memastikan tiada sesiapa tertinggal dalam pendidikan di Selangor.

“Selain program felo, kedua-dua pihak juga bersetuju meneroka potensi kolaborasi dalam bidang penulisan, pendidikan dan latihan bagi memajukan industri buku dan bidang lain berkaitan,” katanya.

Program felo Istabul edisi kelapan dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 Mac tahun depan manakala penyertaan dibuka pada 24 Oktober hingga 16 Disember ini.

Penyertaan Program Fellowship Antarabangsa Selangor pula dibuka antara bulan ini hingga November.


Pengarang :