Muhammad Altamis Bazil Mazlan, 26 , ketika ditemui selepas menerima surat tawaran di Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang pada 30 Oktober 2022. FOTO SITI ROHAIZAH ZAINAL
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rumah Selangorku beri peluang anak muda miliki kediaman sendiri

SEPANG, 31 OKT: Pelaksanaan projek perumahan Rumah Selangorku memberi peluang kepada pembeli memiliki kediaman sendiri khususnya golongan muda.

Jurutera Muhammad Altamis Bazil Mazlan, 26, berkata beliau bersyukur apabila pemaju menghubunginya pada awal tahun ini memaklumkan permohonannya membeli Rumah Selangorku di Bandar Serenia diluluskan.

“Saya memohon pada Ogos tahun lalu apabila ternampak iklan projek perumahan ini dan berharap permohonan diluluskan kerana mahu ada rumah sendiri.

“Alhamdulillah permohonan amat mudah dan tidak perlu menunggu lama. Mungkin ini adalah hadiah perkahwinan kerana saya bakal mendirikan rumah tangga pada Jun tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas menerima surat tawaran di Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang semalam.

Sementara itu, juruteknik K.Tiagu,37, berkata beliau amat teruja dan tidak sabar berpindah ke Rumah Selangorku pada tahun depan bersama isteri dan tiga anaknya.

K.Tiagu,37

“Buat masa ini, saya sekeluarga menyewa di Dengkil lebih 10 tahun dan apabila dimaklumkan permohonan berjaya, sudah pasti berasa amat gembira kerana akhirnya dapat memiliki kediaman sendiri.

“Harga ditawarkan Rumah Selangorku amat berpatutan dan inisiatif Kerajaan Negeri ini adalah usaha baik kerana memudahkan rakyatnya miliki rumah,” katanya.

Dalam pada itu, jururawat Supiah Suhod, 43, berkata beliau memohon perumahan Rumah Selangorku di Bandar Serenia kerana faktor kawasan yang agak strategik.

“Selain harga ditawarkan berbaloi, kawasan perumahan ini juga dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti sekolah, balai polis, bomba dan hospital swasta.

“Apabila membeli rumah saya melihat faktor-faktor ini dapat memudahkan saya dan suami serta tidak perlu risau dengan persekolahan anak-anak,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan surat tawaran Rumah Selangorku di Bandar Serenia kepada 10 pembeli bagi jenis D untuk Amalia 1 dan Amalia 2 sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang

.


Pengarang :