Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan borang milikan tanah (notis 5A) kepada penerima sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sekian lama menanti, tiga beradik lega peroleh hak milikan tanah

KLANG, 23 OKT: Hasrat tiga beradik untuk mandapatkan hak milikan tanah sejak puluhan tahun akhirnya tertunai hari ini.

Mereka adalah Ramlah Ahmad, 71, Ijabperizin Amat, 56, dan Anisah Amat, 53 dari Kampung Hamid Tuah, Telok Gong Pelabuhan Klang.

Mewakili Ramlah, Haslinda Abu Bakar, 34, berkata ibunya dan keluarga berusaha mendapatkan hak tersebut sejak 50 tahun lalu.

Haslinda Abu Bakar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Perjuangan hampir tiga generasi akhirnya terbalas, dia sangat seronok dan bersyukur Kerajaan Negeri bantu untuk dapatkan hak tanah untuk rumah diduduki sekarang.

“Emak saya tidak dapat hadir hari ini kerana sudah tua,” katanya ketika ditemui ketika penyerahan Surat Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) pada Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman di sini.

Manakala anak Ijabperizin, Muhammad Fikir Mazhar, 23, berkata bapanya sering berpesan supaya hak milikan itu diperoleh dan tanah diduki mempunyai nama.

Muhammad Fikir Mazhar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya lega kerana hasrat bapa akhirnya tercapai,” katanya.

Ibu saudara mereka, Anisah pula berkata beliau tidak menjangka menerima Borang 5A itu dan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor.

“Harga rumah semakin mahal dan merisaukan saya bila tanah didiami sekian lama belum dapat hak milik. Alhamdulillah akhirnya tertunai dan lepas ini kalau anak-anak hendak buat rumah, sudah tidak risau,” katanya.

Dalam majlis itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan surat kelulusan tersebut kepada ketiga beradik berkenan.


Pengarang :