Pemain Penang FC Lucas Espindola Da Silva mengawal bola semasa diasak pasukan Selangor FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Georgetown pada 15 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selangor FC tumpu saingan terbaik lawan Kelantan United

SHAH ALAM, 17 OKT: Selangor FC mengalih tumpuan kepada saingan peringkat kalah mati TM Piala Malaysia bertemu Kelantan United selepas menduduki tangga kelima Liga Super musim ini.

Jurulatihnya Tan Cheng Hoe berkata anak buahnya kian serasi dengan corak permainan yang diterapkan selain berharap mereka terus konsisten sepanjang kejohanan itu.

“Kalau dilihat peringkat kalah mati sesiapa pun boleh menang dengan mana-mana pasukan jadi saya harap pemain mesti fokus sekali lagi untuk perlawanan menentang Kelantan United nanti,” katanya.

Gergasi Merah mempamer persembahan meyakinkan sejak Cheng Hoe dilantik mengemudi pasukan apabila berjaya melakar tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan terakhir liga.

Selepas mengakhiri 22 perlawanan, Selangor FC kelima dengan keputusan lapan kemenangan, enam seri dan lapan kali tewas selain menghasilkan 39 gol serta 33 bolos.

Bagaimanapun, pencapaian musim ini sedikit merosot berbanding musim lalu dengan rekod 10 kemenangan, enam seri dan enam kali tewas.

Terdahulu, dalam aksi terakhir Liga Super, Selangor FC berjaya meraih satu mata selepas terikat 1-1 dengan Penang FC pada 13 Oktober.


Pengarang :