Wan Nur Laila Muhammed Arifin, 32, (tengah) menerima sijil Skim Insurans Am Selangor (Insan) daripada Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari selepas melancarkan skim berkenaan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Suri rumah daftar ahli keluarga insurans percuma, persediaan hadapi insiden luar jangka

SHAH ALAM, 26 OKT: Suri rumah menyifatkan pemberian insurans percuma kepada penduduk negeri meringankan beban ibu bapa untuk memperoleh perlindungan untuk anak-anak.

Wan Nur Laila Muhammed Arifin, 32, menambah Skim Insurans Am Selangor (INSAN) dapat melindungi ahli keluarganya jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Saya ada empat anak tiri dan seorang anak kandung. Kalau mahu ambil insurans, memang guna duit banyak.

“Baik rebut untuk kebaikan kita. Malang tak berbau. Kalau jadi apa-apa sekurang-kurangnya ada perlindungan untuk keluarga. Nak mohon tak susah pun. Boleh buat dalam talian, sekejap sahaja selesai,” katanya.

Peniaga Siti Rosmah Abdullah Sani, 34, pula lega kerana tidak perlu membayar untuk memperoleh perlindungan insurans untuk dirinya dan dua anak.

“Semua mohon. Boleh letak nama anak bawah kita. Semua bernilai RM10,000. Ia penting untuk keluarga. Bukan semua orang mampu beli insurans. Kalau tidak ambil sangat rugi.

“Amat mudah. Saya guna Android, jadi saya muat turun di Google Play Store dengan dibantu kakitangan di sana,” katanya yang mendaftar skim itu dalam Jelajah Selangor Penyayang di Klang dekat sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik pelancaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI

Pada 23 Oktober lalu, Kerajaan Negeri melancarkan INSAN sempena jelajah berkenaan di Stadium Sultan Suleiman, di sini.

Dirasmikan Dato’ Menteri Besar, skim insurans percuma yang memberi perlindungan kepada enam juta rakyat dengan kos premium ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari yakin sasaran satu juta rakyat berdaftar bawah skim berkenaan mampu dicapai susulan lebih 40,000 sudah berdaftar sejak dibuka pada 1 Oktober.

Dalam majlis berkenaan, Amirudin turut menyerahkan sijil INSAN kepada lima penerima sebagai simbolik pelancaran.


Pengarang :