Pengundi muda Fatin Norfidiyana Rostam, 19, ketika mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

HARAPAN disukai 26 peratus pengundi, BN dapat 24 peratus

SHAH ALAM, 4 NOV: Kira-kira 26 peratus pengundi cenderung mengundi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) berbanding 24 peratus menyokong Barisan Nasional (BN), menurut tinjauan Merdeka Center.

Dalam kaji selidik antara 19 hingga 28 Oktober dalam kalangan 1,209 responden, gabungan baharu Perikatan Nasional hanya meraih sokongan 13 peratus pengundi.

Parti Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula sekadar memperoleh dua peratus sokongan.

Namun tinjauan sama mendapati 31 peratus enggan menyatakan sebarang kecenderungan politik, jawapan yang sering ditemui dalam beberapa kaji selidik pendapat sebelum ini, kata Merdeka Center.

BN bagaimanapun masih digemari pengundi Melayu dengan 32 peratus sokongan, Perikatan Nasional (PN) 20 peratus dan HARAPAN 13 peratus. Tinjauan sama mendapati 31 peratus pengundi Melayu enggan menyatakan sebarang kecenderungan politik.

“Boleh jadi pengundi yang belum membuat keputusan ini menyokong kerajaan sedia ada tetapi pengalaman lepas menunjukkan majoriti daripada mereka kemungkinan akan meninggalkan BN, lalu memilih PN dan/atau PH,” kata badan penyelidik itu dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan itu bertujuan mengukur pandangan rakyat Malaysia menjelang pilihan raya umum yang bermula esok.

Responden membabitkan 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus (India), enam peratus (Bumiputera Islam) dan enam peratus (bukan Islam dari Sabah dan Sarawak).


Pengarang :