penduduk Flat Taman Kosas di sini tidak lepaskan peluang membeli barangan keperluan asas menerusi program Jualan Ehsan Rakyat (JER). FOTO SHAMZ JOHAN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan asas di Taman Kosas dapat sambutan ramai  

OLEH SHAMZ JOHAN

AMPANG, 6 NOV: Hampir 400 penduduk Flat Taman Kosas di sini tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan asas menerusi program jualan murah menerusi Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Pegawai penyelaras pejabat EXCO perumahan berkata rata-rata penduduk mula beratur seawal jam 8 pagi walaupun program bermula jam 10 pagi.

“Maklum balas diterima warga Flat Taman Kosas yang hadir ke jualan barangan asas murah sangat baik. Ada penduduk yang masih datang walaupun barang sudah habis.

“Ramai yang beratur dari 8 pagi, walaupun jualan mula pada pukul 10 pagi,” kata Norain Shafee ketika ditemui.

Menurut beliau, jualan murah barangan asas itu akan diteruskan ke Dewan Sri Nilam esok dan di Kolej Komuniti Bukit Indah pada Rabu.

“Walaupun baru 3 kali diadakan di DUN Lembah Jaya, saya melihat ada keperluan untuk program ini diperbanyakkan.

“YB Rodziah Ismail turut dijadualkan bertemu penduduk di lokasi-lokasi program tersebut,” katanya.

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk menjayakan jualan murah di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Maklumat lokasi Jelajah Ehsan Rakyat juga boleh diperoleh dengan melayari pautan https://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :