Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Amanat Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 3 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ketua kampung syukur elaun naik, beri motivasi berkhidmat lebih baik

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 27 NOV: Kenaikan elaun ketua kampung tradisi seperti yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2023 memberi motivasi kepada pemimpin masyarakat itu untuk memberi khidmat terbaik kepada penduduk.

Ketua Kampung Labu Lanjut, Damarulan Hassim. Foto SUHAILA SHHARUL ANNUAR/SELANGORKINI

Ketua Kampung Labu Lanjut Damarulan Hassim berkata kenaikan elaun daripada RM1,200 kepada RM1,500 itu juga bukti Kerajaan Negeri prihatin dengan kebajikan mereka.

“Di Kampung Labu Lanjut terdapat kira-kira 12,000 penduduk jadi mereka ini akan datang kepada saya jika ada masalah tidak kiralah banjir, kebajikan dan sebagainya.

“Alhamdulillah dengan kenaikan ini tanda Kerajaan Negeri prihatin dengan kebajikan kami,” katanya kepada Selangorkini.

Ketua Kampung Kundang Kuala Langat Aman Jupri berkata menjadi ketua kampung bermakna perlu memberi khidmat bakti kepada masyarakat tidak mengira masa.

Ketua Kampung Kundang Kuala Langat, Aman Jupri. Foto SUHAILA SHHARUL ANNUAR/SELANGORKINI

“Kami bekerja setiap jam, sepanjang hari menerima aduan dan menyantuni penduduk, jadi bila inisiatif dinaikkan sudah tentu rasa dihargai dan beri motivasi untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.

Elaun ketua kampung tradisi, ketua kampung baru/bagan serta ketua komuniti India dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka adalah jentera pentadbiran akar umbi yang membantu menyampaikan maklumat dan memastikan kesejahteraan penduduk kampung serta masyarakat.

Beliau berkata kenaikan tersebut berikutan bebanan tugas, kos sara hidup serta cabaran yang semakin rumit yang dihadapi mereka di kawasan masing-masing terutama sewaktu bencana dan endemik.


Pengarang :