Majlis Perbandaran Klang (MPK) antara pihak berkuasa tempatan yang banyak mempromosikan amalan kitar semula di kawasan pentadbirannya. Foto ARKIB SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPK anjur program kitar semula kaedah pintu ke pintu

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 2 NOV: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menganjurkan program kitar semula kaedah pintu ke pintu bermula semalam di Bandar Bukit Raja dan Aman Perdana, Klang.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan ia bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan mengurangkan sampah yang dihantar ke tapak pelupusan.

Menurut kenyataan itu masa kutipan dari jam 10 pagi hingga 7 malam secara berkala mengikut jadual ditetapkan di 29 lokasi sekitar Klang.

“Penduduk hanya perlu membuat tiga langkah mudah iaitu asingkan sampah mengikut jenis (sampah tidak boleh kitar semula perlu diletakkan dalam beg hitam untuk kutipan KDEB Waste Management).

“Kumpul barang kitar semula sementara dalam bekas sesuai, masukkan ke dalam plastik lut sinar, ikat dan letakkan di tepi tong sampah pada hari kutipan,” katanya di Facebook semalam.

Kontraktor panel MPK menggunakan lori berlogo MPK semasa kutipan.

Untuk maklumat lanjut hubungi Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MPK di talian 03-3371 5623.

 


Pengarang :