EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 30 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PLATS bantu peniaga luar bandar luas capaian pasaran, jana pendapatan

SHAH ALAM, 30 NOV: Program Platform Selangor (PLATS) membantu mengembangkan perniagaan terutama peniaga di kawasan luar bandar, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata inisiatif tersebut membantu meluaskan capaian pasaran dengan mempromosi perniagaan secara dalam talian sekali gus menjana pendapatan sepanjang masa.

“PLATS menerusi kerjasama dengan Rakan Digital turun sendiri mencari peniaga kecil. Mereka membantu seratus peratus dari mempromosikan jualan dalam talian serta memberi bimbingan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

PLATS semakin mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 17,979 peniaga dan penjaja kecil seluruh negeri setakat Oktober.

Inisiatif tersebut diperkenal dua tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem agenda pendigitalan Selangor susulan penularan Covid-19 dan ditambah baik bagi memastikan peniaga menjana pendapatan sepanjang masa

Platform maya itu diteruskan tahun ini melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad, Rakan Digital Selangor dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam perkembangan lain, Rodziah berkata Majlis Pembangunan Usahawan Selangor akan membentangkan hala tuju untuk tiga tahun golongan peniaga kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Hala tuju pembangunan usahawan untuk tiga tahun ini sudah dilengkapkan dan dalam masa terdekat kita kemukakan kepada MMKN. Ini sebagai rujukan kepada MMKN untuk selarikan tindakan yang bakal diambil,” katanya.


Pengarang :