Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika sidang media selepas meninjau pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sekolah Kebangsaan Sungai Kertas, Kuala Lumpur pada 19 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRU15: Proses pengundian di seluruh negara lancar, terkawal

KUALA LUMPIUR, 19 NOV: Proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung di seluruh negara hari ini berjalan lancar dan terkawal walaupun terdapat kesesakan di beberapa pusat pengundian pada awalnya, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata tiada sebarang provokasi yang dikesan sepanjang proses berkenaan berlangsung.

“Semua pengundi melaksanakan pengundian dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram dan ini menunjukkan masyarakat kita semakin matang dalam proses pengundian.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang keluar mengundi kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata berdasarkan tinjauannya pada sebelah pagi mendapati orang ramai berpusu-pusu keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka, namun keadaan mula reda menjelang tengah hari apabila pengundi tidak lagi beratur hingga ke luar pagar pusat mengundi.

Turut hadir, Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

– BERNAMA


Pengarang :