Pengundi muda Orang Asli Cerrioy Anuar, 21, yang memangku bayi lelakinya, bersemangat beratur seawal 8 pagi untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis bagi Parlimen Gua Musang pada 19 November 2022. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

PRU15: Bonceng motosikal untuk mengundi lepas tiga hari bersalin

GUA MUSANG, 19 NOV: Seorang ibu muda yang baru tiga hari bersalin sanggup membonceng motosikal sambil mengendong bayi lelakinya demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Aleh Jasin, 20, masyarakat Orang Asli suku Temiar menempuh perjalanan kira-kira 10 minit dari rumahnya di Kampung Langsat dengan menaiki motosikal ditunggang ibunya untuk sampai ke pusat mengundi Parlimen Gua Musang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.

Wanita itu yang kali pertama mengundi teruja membawa Masnawi Fakri ke pusat mengundi walaupun perlu keluar rumah awal bagi memastikan keselesaan cahaya mata sulungnya itu.

“Saya perlu membawa bayi kerana dia menyusu badan dan tiada siapa boleh menjaganya di rumah.

“Untuk mengelakkan beratur panjang dan berpanas bersama anak, saya keluar rumah awal sebelum 9 pagi tadi bersama ibu ke sini,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di SK Kuala Betis, di sini.

Sementara itu, Cerrioy Anuar, 21, dari Kampung Bawek berkata dia bersemangat menunggang motosikal sambil mengendong bayi lelakinya yang berusia tiga bulan, Biblee Amiru Irman ke pusat pengundian sama.

“Ini kali pertama saya mengundi, jadi saya cukup semangat dan saya keluar rumah pukul 8 pagi menunggang motosikal ke sini bersama bayi,” katanya.

Turut ditemui di pusat mengundi SK Kuala Betis, Norlaila Awang, 32, yang membawa bersama bayi lelakinya yang baru berusia 24 hari menjalankan tanggungjawab sebagai seorang daripada kira-kira 20 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

Menurut Norlaila, dia terpaksa membawa Hafiiy Zafran Marzuki berikutan suaminya berada di Pahang untuk mengundi.

Katanya, walaupun masih berpantang, urusan mengundi berjalan lancar dengan bantuan petugas di pusat mengundi terutama laluan khas yang disediakan untuk golongan memerlukan.

“Seawal 8.15 pagi saya sudah selesai menjalankan tanggungjawab untuk PRU kali ini,” katanya yang tinggal di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis.

– BERNAMA


Pengarang :