Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Buloh Datuk Seri Datuk R Ramanan berucap ketika program ceramah di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ramanan enggan tabur janji, mahu tumpu selesaikan isu setempat

SHAH ALAM, 15 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh tidak mahu menjadi pemimpin yang mengiakan semua perkara ketika berkempen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Datuk R Ramanan menegaskan beberapa penyelesaian yang dibentang untuk penduduk kawasan itu merupakan masalah sebenar yang dihadapi mereka ketika ini.

“Pihak lawan buat bermacam janji dan mengatakan semua boleh. Saya bukan KJ atau kaki janji. Semua solusi saya ialah perkara nyata dihadapi penduduk Sungai Buloh dan perlu diberi perhatian.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Buloh Datuk Seri Datuk R Ramanan berucap ketika program ceramah di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kalau diberi peluang sebagai ahli parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat, saya tidak mahu sebarang jawatan. Biarkan saya duduk di Sungai Buloh dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau berucap pada program ceramah kelompok di Taman Saujana Utama di sini semalam, yang turut dihadiri Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Ramanan turut mengulangi pendirian untuk tidak mengambil gaji ahli parlimen jika menang kerusi tersebut, sebaliknya akan digunakan untuk kemudahan penduduk Sungai Buloh.

Ramanan berdepan pencabar terkuat bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (Barisan Nasional) dalam persaingan tujuh penjuru pada pilihan raya 19 November.


Pengarang :