Calon Pakatan Harapan Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Kenduri Rakyat di Kampung Changkat Kiri, Gombak pada 11 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sistem pendidikan lintang-pukang, Amirudin tekad bela murid

GOMBAK, 11 NOV: Membantu menyusun semula pengisian sistem pendidikan yang dalam keadaan lintang-pukang antara fokus utama Dato’ Seri Amirudin Shari jika dipilih ke Dewan Rakyat.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Gombak yang memegang portfolio pendidikan Kerajaan Negeri itu berkata ramai murid terjejas kerana perubahan yang kerap dibuat kementerian terbabit.

“Ia bukan hanya soal bangunan sekolah tetapi pengisiaannya yang falsafahnya lintang-pukang, kelam kabut, sekejap hendak kemahiran berfikir aras tinggi kemudian hendak tengok pencapaian bukan peperiksaan tetapi tekan murid.

“Ini cabaran yang saya akan suarakan dan bantu tidak kira sama ada jadi ahli parlimen biasa atau sebaliknya,” katanya pada kenduri rakyat di Taman Selayang Utama di sini hari ini.

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata beliau memilih tema pendidikan untuk diperjuangkan kerana percaya kehidupan seseorang itu mampu menjadi lebih baik menerusinya.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar bagi Parlimen Gombak.

Beliau mencabar penyandang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.


Pengarang :