AGENDA NASIONAL

Tabung Haji yakin raih keuntungan kompetitif walau berdepan cabaran

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Lembaga Tabung Haji (TH) yakin mampu mencatatkan keuntungan yang kompetitif dan berharap dapat membayar hibah atau dividen kepada pendepositnya bagi tahun kewangan 2022 meskipun berdepan tahun mencabar.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata peruntukan aset strategik (SAA) atau profil pelaburan TH sangat serupa dengan Permodalan Nasional Bhd yang mana sebahagian besar pulangan akan bergantung kepada prestasi pasaran saham tempatan dan global.

Berdasarkan kepada SAA bagi 2021 hingga 2023, beliau berkata TH mengatur strategi untuk mengoptimumkan profil pulangan risikonya bagi menjana pulangan yang kukuh dan stabil dipandu oleh keperluan minat risiko dan liabiliti dengan penilaian risiko yang besar.

“Tumpuan diberikan kepada aset risiko rendah hingga sederhana yang menjana pulangan konsisten, mengoptimumkan portfolio berdasarkan kepada keperluan mudah tunai dan pulangan yang sepadan dengan minat risiko pelabur,” katanya semasa program MIDF Conversation yang diadakan secara maya, di sini, hari ini.

Setakat 30 September, 2022, kedudukan aset TH terdiri 60.1 peratus atau RM52.79 bilion daripada pendapatan tetap, hartanah (8.7 peratus atau RM7.63 bilion), ekuiti domestik 16.5 peratus (RM14.51 bilion), ekuiti asing 5.1 peratus (RM4.49 bilion), ekuiti swasta 1.1 peratus (RM974 juta) dan pasaran wang 8.5 peratus (RM7.44 bilion).

“Pulangan sasaran kami bagi profil kami adalah 0.5 hingga 1 peratus melebihi kadar deposit tetap Islam. Sasaran kami tidak perlu lebih tinggi berbanding pasaran dan pengurusan dana tipikal atau kelas amanah saham. Secara perbandingannya, pendeposit TH mempunyai kelebihan untuk mengeluarkan tunai mereka serta merta dan ia adalah kadar bebas risiko kepada aspek tertentu,” katanya.

Amrin menjangkakan 2023 akan terus menjadi tahun mencabar bagi TH dan kumpulan itu sedang merangka strategi dan mengkaji cara untuk merancang sistem pelaburan mengekalkan kesinambungan masa hadapan.

Beliau berkata pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada pelaburan dan tahap deposit TH.

“Semasa pandemik, orang ramai menemui cara baharu untuk bekerja dan tidak begitu memerlukan pejabat fizikal. Memandangkan TH mempunyai pelaburan besar dalam hartanah, sewa ruang ia adalah suatu yang sangat mencabar. Selain itu, pengeluaran wang juga melonjak semasa pandemik.

“Pengagihan keuntungan akan menjadi satu cabaran pada masa depan kerana kami perlu menarik deposit kerana kami memerlukan wang untuk menjana wang, tetapi kami mempunyai profil risiko tertentu yang perlu kami patuhi dan pada masa yang sama bersaing berbanding pelaburan alternatif lain. Jadi ia adalah satu cabaran bagi kami,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, dengan kos haji yang meningkat lebih dua kali ganda pada 2022 dan dijangka terus meningkat pada 2023, beliau berkata cabaran bagi TH adalah menaikkan amaun subsidi yang perlu disediakan kepada jemaah haji.

Amrin berkata beliau berharap laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu-isu pengurusan dan operasi TH akan dapat diumumkan dengan segera.

“Ini akan menjadi penyelesaian yang baik bagi model perniagaan, strategi pelaburan serta tadbir urus korporat dan amalan terbaik TH,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :