Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu (duduk, dua kanan) mendengar permasalah rakyat ketika berkempen di Pengkalan Manggis, Sepang pada 8 November 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tenang dengar masalah rakyat, calon HARAPAN disenangi warga Sepang

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 8 NOV: Perwatakan tenang yang dimiliki Aiman Athirah Sabu ketika berkempen menjadikan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Sepang itu mudah didekati.

Bicara, “Saya di sini untuk mendengar masalah. Cerita pada saya apa masalah di sini?” yang biasa digunakan ketika turun padang menjadikan penduduk selesa meluahkan pendapat.

Dalam setiap program ramah mesra, beliau akan membawa ahli majlis dari setiap zon supaya segala permasalahan dibincang secara dua hala bagi mencari penyelesaian.

Selain meluahkan masalah, penduduk turut memberi kata-kata semangat “puan boleh menang di sini, jangan risau” malah ada juga merayu “tidak ditinggalkan” jika beliau menang.

Bersikap terbuka mendengar rungutan penduduk termasuk isu sampah, longkang tidak diselenggara dan masalah banjir, Aiman Athirah berazam untuk terus menjadi suara dan telinga rakyat.

“Tumpuan saya bukan kuasa dan harta, tumpuan saya membangunkan negara untuk semua. Saya takut orang Sepang muak, jemu tengok muka saya nanti.

“Hari-hari ada (turun padang). Sebab saya memang biasa bekerja untuk bakti dan perjuangan rakyat. Sebab itu saya berada di sini,” katanya ditemui di sini.

Aiman Athirah disaingi bekas Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Rina Harun (Perikatan Nasional) dan Anuar Basiran (Barisan Nasional) dalam saingan lapan penjuru.


Pengarang :