Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang media pertama setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Sungai Long Golf Club House, Kajang pada 24 November 2022.- Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Undi percaya PM elak pertikaian, perkukuh kestabilan negara

BANGI, 27 NOV: Pembentangan usul undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Parlimen ke-15, 19 Dis ini, adalah wajar bagi memastikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dapat dimuktamadkan.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata langkah itu juga adalah bagi mengelakkan daripada pertikaian berterusan pihak tertentu seperti yang pernah dihadapi di dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Namun jika ia (undi percaya) tiada, kita masih perlu membentangkan belanjawan dan belanjawan itu sendiri juga boleh dianggap sebagai undi percaya,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan MASISWA Networking Games 2022 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini.

Anwar, dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10, Khamis lalu, berkata sidang pertama Dewan Rakyat pada 19 Dis ini ditetapkan untuk dikemukakan usul undi percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri.

Katanya, langkah itu bertujuan apabila ada pihak mempertikai kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri sekali gus dilihat menjejaskan kestabilan kerajaan.

— BERNAMA


Pengarang :