Datuk Bandar Shah Alam, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid menyertai acara Fun Walk dalam program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan @Elmina Central Park di Sekyen U16, Shah Alam hari ini. Foto MBSA
PBTSELANGOR

5,000 meriahkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan@Elmina Central Park

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 18 DIS: Kira-kira 5,000 warga bandar raya ini memeriahkan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan@Elmina Central Park anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen U16 hari ini.

Program diadakan di Elmina Central Park itu dihadiri Datuk Bandar, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid, timbalannya, Ahli-ahli majlis dan pengurusan tertinggi MBSA.

Dr. Nor Fuad dalam ucapannya mengucapkan terima kasih atas sambutan yang diberikan warga Shah Alam dalam program hari ini.

“Saya bercadang untuk untuk menganjurkan program yang sama di luar pusat bandar raya selepas ini,” katanya yang turut menyertai acara Fun Walk dengan berjalan sejauh lima kilometer.

Sementara itu, bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA dalam kenyataan memberitahu, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya kayuhan santai, persembahan kebudayaan dan kombo MBSA, peragaan fesyen dan penyampaian hadiah Keluarga Ceria.

Turut diadakan ialah aktiviti di sudut kanak-kanak iaitu wayang pacak, aktiviti kraft Perpustakaan Anggerik Vanilla, aktiviti mewarna dan perkelahan bersama keluarga.

“MBSA juga menyediakan perkhidmatan seperti pengoperasian pejabat bergerak Shah Alam On Wheels, perpustakaan bergerak dan pameran SEDA-10 (cari dan musnah AEDES 10 Minit).

“Pameran dan jualan daripada pihak Sime Darby, Klinik Siti, Universiti Teknologi Mara (UiTM), aktiviti seni dan kraf (GSA), Kelab Basikal dan jualan susu Farm Fresh juga disediakan kepada pengunjung,” menurut kenyataan.

 


Pengarang :