Canselor Universiti Selangor (Unisel) Tan Sri Raja Arshad Tun Uda menyerahkan skrol ijazah sarjana muda kepada graduan sempena Istiadat Konvokesyen Unisel ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

90.6 peratus mahasiswa Unisel dapat kerja setelah tamat pengajian

KUALA SELANGOR, 3 DIS: Seramai 90.6 peratus mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) mendapat pekerjaan dalam tempoh beberapa bulan selepas mereka menamatkan pengajian pada tahun lalu.

Canselornya Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj berkata pencapaian pada 2021 menunjukkan peningkatkan berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan 71.4 peratus.

“Walaupun berstatus institusi pengajian tinggi swasta, perkembangan Unisel semakin membanggakan dan pensyarah atau pelajar membuktikan universiti ini mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi pengajian tinggi yang lain dalam mencipta kejayaan.

“Selain itu, beberapa pelajar berjaya mengharumkan Unisel dalam pertandingan yang dijalankan seperti memenangi pertandingan Projek Penyelidikan Inovasi Nanoteknologi (PIN) peringkat kebangsaan 2022 sementara pensyarah pula meraih pingat emas menerusi Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX 2022),” katanya.

Graduan diraikan sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) ke-16 di Dewan Canselor Unisel kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 3 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berucap pada Istiadat Konvokesyen Ke-16 Unisel di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini yang berlangsung selama dua hari sehingga esok bagi meraikan 1,319 graduan.

Pada masa sama, beliau berharap graduan yang kini bergelar alumni mengekalkan perpaduan antara satu sama lain.

“Unisel sebuah institusi pendidikan sangat mengutamakan perpaduan bangsa, budaya dan agama dalam memberikan pendidikan. Mereka perlu menjadi duta keharmonian dalam kalangan masyarakat dan elakkan diri daripada terlibat dalam penyebaran berita palsu.

“Malah, saya berharap graduan terus berhubung dengan universiti ini dan membantu memberikan bimbingan kepada pelajar semasa, menyumbang kepada pembangunan akademik, penyelidikan dan inovasi melalui Yayasan Unisel,” katanya.


Pengarang :