Lokasi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Aktiviti niaga termasuk perkhemahan perlu mohon permit PBT

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 21 DIS: Sebarang aktiviti perniagaan termasuk perkhemahan yang dijalankan mana-mana pengusaha perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) di Facebook menjelaskan pengusaha perlu memastikan perniagaan dijalankan selari kelulusan kebenaran merancang yang diperolehi.

PBT itu menegaskan aktiviti perkhemahan merupakan rekreasi luar atau sampingan yang dijalankan pemilik hotel atau resort serta perlu dirujuk kepada jabatan berkaitan untuk pertimbangan.

“Bagi pelesenan seperti dalam Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007, Majlis boleh mempertimbangkan sesuatu permohonan ‘aktiviti perkhemahan’.

“(Ia) tertakluk kepada permohonan lesen pusat rekreasi persendirian tetapi ia perlu melihat kepada syarat yang diberikan semasa kelulusan kebenaran merancang,” jelas MPHS.

Kenyataan itu mengulas laporan Malaysiakini berhubung pengusaha tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali yang mendakwa tidak boleh memohon lesen kerana permit itu tidak wujud.

Tapak perkhemahan tersebut dilanda tanah runtuh pada Jumaat lalu, menyaksikan 61 daripada 94 mangsa selamat, 25 terkorban manakala lapan lagi masih hilang.

Sementara itu, MPHS berkata dasar khusus dan jelas perlu diwujudkan berikutan aktiviti riadah termasuk perkhemahan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Dasar khusus dan jelas yang perlu diwujudkan bagi memastikan aktiviti tersebut dapat dijalankan secara sah dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” kata PBT itu lagi.


Pengarang :