ADNBERITA UTAMASELANGOR

Baucar halal mula diagih bantu rakyat kurang mampu beli keperluan harian

SHAH ALAM, 7 DIS: Beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) mula mengagihkan baucar halal untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) membeli keperluan harian di pasar raya terpilih.

Wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata seramai 50 penduduk fakir dan miskin serta ibu tunggal di kawasannya menerima manfaat bernilai RM100 bermula bulan ini.

“Program ini bagus kerana memfokuskan industri halal tetapi boleh ditambah baik dengan menambah jumlah penerima supaya beri dampak dan lebih ramai dapat manfaat,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ADN Permatang Rozana Zainal Abidin memaklumkan pihaknya menyasar golongan B40, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) untuk menerima baucar tersebut.

“Kebanyakan penerima membeli-belah di pasar raya 99 Speedmart kerana dekat dengan rumah. Selain itu, saya berharap baucar ini dapat ditingkatkan kepada 100 penerima,” katanya.

Pemberian Baucar Halal bernilai RM100 merupakan usaha serampang tiga mata Kerajaan Negeri dalam agenda memperkasa industri halal untuk membantu 2,800 penduduk kurang berkemampuan.

Insentif yang dilancarkan pada 28 Julai lalu oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut membantu pengusaha menjual produk dan menggalak mereka memohon sijil halal.

Baucar itu boleh digunakan di Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah), Mydin, Azzainmart Peneraju Kedai Halal dan 99 Speed Mart dengan hanya satu transaksi dibenarkan.


Pengarang :