Keadaan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 13 Parajurit Muda melanggar tembok batu pemisah lorong tol di Kilometer 7.1 Plaza Tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Mohd Kamal
AGENDANASIONAL

Empat parah lori ATM bawa 13 parajurit muda langgar tembok pemisah tol

SEREMBAN, 18 DIS: Empat cedera parah selepas sebuah lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membawa 13 Parajurit Muda melanggar tembok batu pemisah lorong tol di Kilometer 7.1 Plaza Tol Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata insiden yang berlaku pada 7.10 malam itu dipercayai berpunca daripada masalah brek.

“Pemandu dan tiga penumpang mengalami kecederaan parah, lapan penumpang cedera ringan manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lori itu, yang dipandu oleh seorang anggota tentera berusia 25 tahun, sedang bergerak di lorong paling kiri ketika dipercayai mengalami kerosakan brek dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok tersebut.

Ketika kejadian, lori itu dalam perjalanan dari Markas 1 Kompeni Angkut Kem Si Rusa di Port Dickson menghala ke Terminal One, Seremban.

“Kesemua parajurit baharu menamatkan latihan asas ketenteraan dan dihantar ke Terminal One, Seremban untuk mereka pulang bercuti,” katanya sambil menambah mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA


Pengarang :