Barisan pelakon (yang meminjamkan suara), Pengarah, Produser dan tenaga belakang tabir yang menjayakan filem animasi Mechamato pada Malam Gala Tayangan Perdana Filem Mechamato Movie di pawagam GSC MidValley pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Filem animasi tempatan Mechamato Movie raih kutipan RM5 juta selepas tiga hari tayangan

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Selepas tiga hari ditayangkan di pawagam, “Mechamato Movie”, filem animasi 3D keluaran tempatan berjaya meraih kutipan RM5 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (Monsta) Nizam Abd Razak yang merupakan penulis dan juga pengarah filem itu melahirkan rasa syukur dengan sambutan memberangsangkan berkenaan.

“Sejujurnya kami tidak menyangka sambutan sebegini hebat kerana Mechamato adalah jenama terbaru dari Monsta berbeza dengan BoBoiBoy yang sudah menjadi ikon negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya siri animasi Mechamato baru setahun ditayangkan di Cartoon Network dan dua bulan ditayangkan di Netflix.

“Demam Mechamato memang betul-betul dapat dirasai. Dengar kata ada yang siap bersilat selepas keluar panggung,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua yang telah menonton filem berkenaan.

Beliau berharap para penonton dapat menguar-uarkan mengenai filem itu kepada sahabat dan keluarga.

Nizam berkata Mechamato Movie juga bakal dibawa ke negara luar pada tahun depan.

– BERNAMA


Pengarang :