Pelanggan membeli telur ayam omega yang terdapat di pasaran ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Setiawangsa, Kuala Lumpur pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Import telur ayam langkah jangka pendek tampung kekurangan bekalan

SHAH ALAM, 6 DIS: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenal pasti beberapa sumber luar sebagai langkah jangka pendek untuk menampung kekurangan telur ayam di pasaran.

Menterinya Mohamad Sabu memaklumkan pihaknya juga tidak akan berkompromi dalam memastikan bekalan yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata inisiatif mengimport telur ayam bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan menjaga kebajikan rakyat, bukan untuk menekan pengusaha tempatan.

“Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Mohamad turut meminta ketua setiausaha kementerian melihat dampak tindakan itu kepada industri tempatan dan mengarahkan Agrobank memberi cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil.

Beliau yakin isu kekurangan telur ayam dapat diatasi segera dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan bekalan itu stabil dalam pasaran dengan harga yang kompetitif.

Kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam di seluruh negara berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan telur ayam sejak dua bulan lalu.

Ketika ini, harga siling bagi telur gred A di Semenanjung ialah 45 sen, gred B (43 sen) dan gred C (41 sen) manakala Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pula berbeza mengikut zon dan daerah.

 


Pengarang :