Tan Sri Johan Jaaffar (dua dari kiri) bergambar bersama U-Wei Haji Saari selepas merasmikan buku berjudul dot dot dot… di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Johan Jaaffar lancar buku dot dot dot… karya U-Wei

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 5 DIS: Tan Sri Johan Jaaffar melancarkan buku dot dot dot… karya U-Wei Haji Saari di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Tokoh Wartawan Negara itu menyifatkan buku tersebut sebagai naskhah istimewa kerana mengandungi tulisan pengarah filem dan teater itu dalam pelbagai genre.

“Saya percaya buku tersebut akan mendapat perhatian pelbagai pihak kerana dihasilkan seorang pengarah tersohor serta berwibawa yang telah membawa negara ke persada antarabangsa.

”Buku ini adalah kompilasi esei U-Wei yang sebahagian besarnya pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Ada satu esei baharu dimuatkan bertajuk Nuraina Anak Bapak A. Samad Ismail yang tidak pernah diterbitkan oleh mana-mana pihak. Ia adalah esei berdasarkan buku tulisan Nuraina Samad bertajuk Tuesday With Bapak,” katanya

Beliau turut melahirkan rasa terharu kerana diberi penghormatan melancarkan buku tersebut serta berharap U-Wei akan terus menghasilkan lebih banyak buku, filem dan teater.

Buku dot dot dot… terbitan Forum Press Sdn Bhd setebal 284 muka surat dijual dengan harga RM45 dan boleh dibeli di SIBF selain dijual di kedai buku selepas ini.

Tan Sri Johan Jaaffar menandatangani replika buku gimik perasmian buku berjudul dot dot dot… karya U-Wei Haji Saari di Pesta Buku Antarabangsa Selangor yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :