Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sembah taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan ke-77 Tuanku di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB tekad pulih kehidupan rakyat, keprihatinan Tuanku jadi inspirasi

KLANG, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar bersama barisan pimpinan pentadbiran Kerajaan Negeri bertekad untuk terus menggembleng usaha bagi memulihkan keadaan dan kehidupan rakyat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor terhadap kebajikan rakyat sentiasa menjadi inpirasi pentadbiran negeri dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan politik pasca Februari 2020.

“Sejak berdepan krisis ini, keresahan dan keluhan rakyat semakin kuat. Alhamdulillah, Kerajaan Tuanku yang dipayungi pedoman dan teladan memperkukuhkan tekad bersama pimpinan negeri termasuk akar umbi menggembleng usaha untuk memulihkan keadaan serta kehidupan rakyat Selangor.

“Keprihatinan Tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata sentiasa menjadi inspirasi untuk tekun berusaha demi kesejahteraan rakyat dan kesentosaan negeri.

“Malah, patik juga berazam dan beriltizam untuk memastikan negeri ini pulih lebih gemilang dan hebat, membantu rakyat bangkit segera daripada kesan pandemik serta ketidaktentuan politik sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan sembah taat setia sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-77 di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini.

Amirudin diiringi EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian dan EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Ganabatirau Veraman.

Sempena Hari Keputeraan kali ini, Baginda berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 104 penerima.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-77 Tuanku di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi istiadat itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mendahului senarai penerima dengan menerima Darjah Kelas Pertama iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) membawa gelaran Dato’ Seri.

Berangkat mengiringi Baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.


Pengarang :